Nuffnang
Wednesday, June 29, 2011
Karangan SPM:Kepentingan Program Latihan Khidmat Negara
Soalan : Program Latihan Khidmat Negara telah diperkenalkan untuk melatih golongan remaja menjadi warga negara yang berguna. Anda ingin menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan program ini dengan menyatakan pandangan anda untuk disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan. Tulis karangan anda selengkapnya.
Jawapan contoh
Program Latihan Khidmat Negara telah diperkenalkan dan dilaksanakan bebepada tahun yang lalu. Pelaksanaan program ini telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat. Kerajaan telah berusaha untuk meyakinkan masyarakat bahawa program ini mempunyai banyak kebaikan, khususnya kepada golongan remaja dan umumnya kepada negara. Namun begitu, sehingga kini banyak pihak belum mendapat penjelasan yang sebenar akan kebaikan-kebaikan yang terhasil daripada pelaksanaan program tersebut. Sesungguh, jika dihalusi secara mendalam Program Latihan Khidmat Negara menjanjikan pelbagai manfaat kepada rakyat Malaysia.
Program Latihan Khidmat Negara bakal melahirkan warga negara yang cinta akan tanah air. Selama ini warga negara ini, khususnya golongan remaja tidak memberi perhatian terhadap perkara ini. Pada anggapan mereka negara ini ditadbir oleh kerajaan tanpa melibatkan rakyat jelata. Selain itu golongan muda hari sudah pudar semangat cinta akan air kerana kemewahan hidup, keamanan, dan kemudahan yang cukup, telah melalaikan mereka. Oleh itu semangat cinta akan tanah air perlu diterapkan dengan kaedah yang lebih berkesan supaya jiwa golongan remaja kembali diisi dengan semangat patriotisme yang tinggi, bak kata pepatah melentur buluh biar dari rebungnya. Jadi, program ini merupakan satu kaedah yang sesuai untuk melahirkan warga negara yang cinta akan tanah air.
Selain itu Program Latihan Khidmat Negara juga akan menerapkan semangat kepimpinan dalam kalangan remaja lepasan sekolah. Semangat kepimpinan sangat penting kerana pemimpin yang baik bakal mempengaruhi kestabilan sesebuah negara. Kepemimpinan yang baik juga dapat menjamin hasrat negara untuk menjadi sebuah negara yang maju, di samping mengekalkan nilai-nilai murni dan budaya masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Golongan muda perlu didedahkan dengan konsep kepimpinan yang dapat menjamin kelangsungan kemerdekaan sesebuah negara. Golongan muda ialah generasi yang bakal mewarisi pentadbiran negara suatu hari nanti. Justeru, mereka perlu memiliki semangat kepimpinan bagi memenuhi keperluan kepimpinan negara pada masa hadapan.
Satu lagi kebaikan program ini ialah pemupukan semangat perpaduan dalam kalangan remaja pelbagai kaum. Seperti yang diketahui umum, perpaduan merupakan satu aset penting ke arah kemajuan negara. Perpaduan bakal menentukan iklim politik, ekonomi, sosial, dan sebagainya berada pada tahap yang selesa. Tanpa perpaduan, negara ini akan kucar-kacir dan bakal mencetuskan kekacauan. Pihak luar sudah pasti mengambil peluang daripada ketidakstabilan negara kerana bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Isu perpaduan sangat penting dalam sesebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti negara ini. Remaja pelbagai kaum perlu disedarkan peranan masing-masing dalam memelihara semangat perpaduan agar negara terus aman. Oleh itu, program yang membolehkan remaja pelbagai kaum bergaul sesama sendiri dilaksanakan agar semangat perpaduan terus mekar dan menjadi sebahagian daripada amalan hidup mereka.
Program Latihan Khidmat Negara akan membentuk disiplin dalam kalangan peserta iaitu golongan remaja. Program ini dikendalikan dalam bentuk separa ketenteraan serta menerapkan sebahagian cara hidup seorang anggota pasukan keselamatan. Disiplin yang agak ketat bakal membentuk masyarakat yang berwibawa dan bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan kepada mereka, bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah bentuknya. Masyarakat yang memiliki disiplin yang baik, bakal mengurangkan masalah kerajaan dalam menangani gejala sosial, seperti penagihan dadah, gangsterisme, buli, peras ugut, dan sebagainya. Golongan remaja perlu diterapkan dengan disiplin yang baik kerana mereka sering terdedah kepada unsur-unsur atau pengaruh-pengaruh yang tidak sihat, Jadi, program berkenaan dapat membentuk remaja dengan disiplin yang utuh.
Program Latihan Khidmat Negara juga akan mengurangkan gejala sosial dalam kalangan remaja lepasan sekolah. Gejala sosial berlaku apabila golongan remaja menghabiskan waktu dengan cara melepak bersama-sama rakan di tempat-tempat awam. Remaja lepasan sekolah biasanya mempunyai masa terluang yang banyak sementara menanti peluang melanjutkan pelajaran atau memenuhi pasaran kerja. Oleh yang demikian, mereka memerlukan aktiviti-aktiviti yang membolehkan masa diisi dengan berfaedah sebelum mereka terjerumus ke kancah gejala sosial yang lebih parah, atau sebelum kudis menjadi tokak. Dengan adanya program ini, golongan remaja yang terpilih akan ditempatkan di kem latihan sepenuh masa selama tiga bulan. Oleh itu pergerakan mereka akan terhad di sekitar kawasan yang dikhususkan kepada mereka. Mereka tidak dibenarkan keluar dan menghabiskan masa di luar tanpa tujuan. Hasilnya, gejala sosial dapat dibendung dengan jayanya jika golongan remaja menyertai program berkenaan.
Tambahan pula program ini mendedahkan golongan remaja kepada kerja-kerja yang bercorak kebajikan. Golongan remaja masa kini biasanya hidup dalam keadaan mewah dan hanya mementingkan gaya hidup yang bebas. Mereka jarang diajak untuk menabur bakti dengan melakukan kerja-kerja kebajikan. Dalam program ini model khidmat masyarakat yang melibatkan kerja-kerja kebajikan diperkenalkan supaya peserta dalam memberikan sumbangan ke arah melahirkan masyarakat penyayang. Mereka dihantar untuk bekerja membersihkan kawasan perumahan, rumah-rumah kebajikan, rumah anak yatim, dan sebagainya. Dengan cara ini golongan remaja akan menjadikan kerja-kerja kebajikan sebagai sesuatu yang boleh dilakukan sepanjang masa dan bukan pada masa-masa tertentu sahaja.
Kesimpulannya, Program Latihan Khidmat negara mendatangkan pelbagai manfaat kepada golongan remaja. Oleh itu semua pihak tidak perlu mempertikaikan kewajaran pelaksanaan program berkenaan. Sebagai rakyat Malaysia, kita tidak mahu golongan remaja masa kini terus terjebak dalam gejala-gejala yang tidak sihat. Remaja hari ialah pemimpin pada masa akan datang. Dengan pelaksanaan program ini, kita berharap golongan remaja hari ini akan menjadi tonggak penting dalam memenuhi keperluan modal insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. (790 perkataan)
Monday, June 27, 2011
Karangan~DISIPLIN ASAS KEJAYAAN
Selain itu , sikap disiplin dalam seseorang dapat meningkatkan kesedaran remaja dalam pelbagai perkara .Remaja kini tidak menyedari kepentingan akademik dan suka hidup dalam mimpi .Mereka suka melepak ,merokok dan hidup dalam alam fantasi mereka .Akhirnya , mereka lupa daratan dan hilang arah tuju.Oleh itu, para guru disiplin sekolah harus sentiasa tegas dalam mengatasi masalah disiplin pelajar dan menguatkuasakan peraturan sekolah sebelum nasi menjadi bubur. Sebuah sekolah yang berada dalam keadaan yang erkawal akan dapat melahirkan tempat yang kondusif kepada pelajar-pelajar .
Seterusnya , disiplin yang ada pada seseorang remaja dapat menetapkan masa depan seorang remaja .Remaja alaf baharu ini mudah hilang arah tujuan kerna mereka tiada motivasi diri .Contohnya , mereka tidak membuat jadual belajar dan mereka malas untuk berusaha . Oleh itu , guru sekolah harus mendidik murid untuk menjadi disiplin .Dengan teknik pembelajaran yang disiplin . remaja dapat mengetahui perkara yang sedang dibuatnya dengan jelas dan tahu mencari cara untuk memajukan diri mereka .Dengan itu , remaja akan menghargai masa dan mereka akan sentiasa melakukan aktiviti yang berfaedah .
Sementara itu, sikap disiplin yang ada pada seseorang dapat meningkatkan imej diri .Pada masa ini , masalah remaja seperti berpakaian selekeh dan berambut panjang sudah menjadi perkara yang umum . Budaya Punk dan Barat dipraktikkan dalam kehidupan mereka.Contohnya , mereka mewarnakan rambut dan berseluar ketat . Pepatah Melayu pernah mengatakan melentur buluh biarlah dari rebungya ,ibu bapa harus menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan menjadi suri telada kepada anak sejak kecil kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.Sebagaimana yang kita tahu , anak-anak yang dididik dengan baik dari rumah sentiasa mempunyai sikap disiplin dan perkara-perkara yang dilakukan oleh mereka tidak menconteng arang di muka ibu bapa.
Di samping itu , disiplin merupakan kunci kejayaan diri . Anak muda pada masa kini antikokurikulum dan antipeperiksaan kerana mereka tidak dapat mencari keseronokan yang mereka kira seronok . Misalnya , mereka ponteng sekolah semasa dikehendaki untuk menghadiri aktiviti kokurikulum dan hanya hadir pada hari peperiksaan sahaja. Pengetua sekolah haruslah memberikan nasihat dan teguran untuk menyedarkan remaja bahawa pentingnya kokurikulum dan akademik dalam dunia ini . Pengetua juga harus member kata-kata yang dapat memotivasikan pelajar supaya pelajar lebih yakin akan diri sendiri . Pelajar haruslah menunjukkan muhasabah disiplin diri yang tinggi dan harus memperbaik sikap yang buruk kerana buang yang keruh , ambil yang jernih .
Tuntasnya , masalah disiplin pelajar dapat dikawal tetapi memerlukan usaha yang pragmatik dan kerjasama bagai aur dengan tebing oleh semua pihak . Pepatah Melayu sentiasa berbunyi ‘pemuda harapan bangsa , pemudi tiang negara , remaja harus diasuh untuk menjadi pemimpim negara yang berketerampilan dan berwibawa .Kesimpulannya ,sikap disiplin merupakan penentu kejayaan untuk memastikan masa depan negara cerah dan sejahtera . Saya yakin bahawa remaja ialah aset negara dan mereka akan menerajui dan mendukung cita-cita negara pada masa depan dengan sikap disiplin yang utuh dalam diri mereka .
Sunday, June 26, 2011
Karangan Isu Tabiat Merokok
Hari Tanpa Tembakau merupakan inisiatif proaktif Pertubuhan Kesihatan Sedunia secara global, bertujuan mengingatkan masyarakat tentang wabak tembakau yang meracuni gaya hidup masyarakat sedunia serta membunuh empat juta penduduk dunia setiap tahun. Angka ini dijangka meningkat kepada 10 juta orang pada tahun 2030. Statistik daripada Sufean (2004) menunjukkan 49 peratus lelaki dewasa di Malaysia, merokok, dan jumlah ini melebihi peratusan perokok di negara maju, iaitu 38% di Britain, 35% di Amerika Syarikat dan 30% di Sweden. Setiap hari, antara 14,000 hingga 15,000 remaja mula menjadi penagih tembakau di negara maju. Di negara-negara membangun dan di negara mundur, perokok remaja meningkat antara 68,000 hingga 84,000 orang. Tegasnya, masyarakat perlu sedar akan bahaya merokok agar tidak menjerumuskan diri sendiri ke lembah maut.
Sebatang rokok yang dinyalakan oleh perokok mengeluarkan lebih 4000 bahan kimia beracun yang boleh membawa maut. Bahan kimia dalam asap rokok termasuklah ammonia (pencuci lantai dan tandas), arsenik (racun tikus), aseton (peluntur warna kuku), asid asetik (cuka), asid stearik (lilin), butana (cecair pemetik api), DDT (racun serangga), etanol (alkohol), heksamin (pencucuh barbeku), hidrogen sianida (gas beracun yang digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman mati), karbon monoksida (asap kenderaan bermotor), metana (gas paya), metanol (minyak roket), naftalena (ubat gegat dan kapur barus), nikotin (dadah yang menagihkan), tar, toluena (pelarut industri) dan vinil klorida (bahan untuk membuat PVC). Sekiranya perokok benar-benar menyayangi dirinya, mengapakah dia sanggup membinasakan dirinya sendiri dengan merokok? Hargailah kesihatan dan nyawa, kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.
Racun paling berbahaya dalam sebatang rokok ialah tar, karbon monoksida dan nikotin. Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia penyebab kanser. Kajian perubatan mengesahkan "benzopyrene" iaitu sejenis "polycyclic aromatic hydrocarbon" merupakan agen yang memulakan proses kejadian kanser. Justeru, tidak hairanlah, statistik di Malaysia membuktikan merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kes kematian setahun; 30 peratus daripadanya disebabkan oleh 10 jenis kanser, iaitu kanser paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut. 50 peratus kematian pula berpunca daripada sakit jantung dan strok. Setiap tahun, lebih 100,000 perokok dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat kanser, sakit jantung dan penyakit sekatan pulmonari kronik. Hampir satu per empat mangsa pesakit jantung berpunca dari tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung merupakan penyebab utama kematian perokok, manakala strok merupakan pembunuh keempat. Lebih menyedihkan, negara kerugian kira-kira RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan penyakit akibat gejala merokok. "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna."
Karbon monoksida di dalam rokok pula, merupakan gas beracun yang dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas tersebut menjejaskan bekalan oksigen ke tisu-tisu sehingga tisu-tisu terencat dan akhirnya mengakibatkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%. Apabila racun rokok memasuki tubuh manusia, racun berkenaan menyebabkan kerosakan pada setiap organ di sepanjang laluannya, bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghadaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, sehingga menyebabkan bronkitis di bahagian paru-paru. Racun rokok turut merosakkan pundi udara dalam paru-paru dan menyebabkan penyakit emfisima.
Selain mendatangkan implikasi kronik terhadap diri perokok, asap rokok yang dihembus oleh perokok, atau asap rokok basi (istilah saintifiknya, merokok secara pasif) turut menjejaskan kesihatan orang di sekelilingnya. Profesor Dato' Dzulkifli Abd. Razak, mantan naib canselor Universiti Sains Malaysia dalam rencananya, "Asap Rokok Basi: Dedahkan Faktanya" menjelaskan, asap rokok basi mengandungi lebih banyak bahan beracun seperti nikotin, formaldehid dan benzene, berbanding asap rokok yang disedut oleh perokok. Asap ini lebih berbahaya kerana asap berkenaan terapung di udara beberapa ketika.
Asap rokok yang dihidu akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan, serta menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan pankreas. Racun dalam asap rokok yang larut air, akan memasuki sistem saluran darah dan dibawa ke seluruh badan. Bahan nikotin bukan sahaja mendatangkan ketagihan, malah menyebabkan saluran darah arteri menjadi sempit. Nikotin turut merosakkan dinding arteri dan akan memudaratkan organ-organ yang berkaitan. Kesan ini, dalam jangka masa panjang, akan menyebabkan simptom kebas pada kaki, kebas pada jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati, kekejangan otot kaki dan serangan penyakit jantung. Racun rokok akhirnya disaring dalam buah pinggang dan dihapuskan dari badan menerusi air kencing. Dalam proses ini pula, berlaku satu lagi keracunan hasil penguraian kimia asap rokok yang turut merosakkan buah pinggang. Racun dalam air kencing juga menyebabkan kerosakan pundi kencing. Tegasnya, sudah terang lagikan bersuluh, perbuatan merokok membawa beratus-ratus masalah kesihatan yang tiada noktah penghujung.
Tuntasnya, semua pihak perlu bekerjasama "bagai aur dengan tebing" memperkasakan usaha untuk menyedarkan masyarakat bahawa perbuatan merokok akan mendatangkan implikasi negatif kepada diri sendiri, masyarakat sekeliling dan juga negara. Ibu bapa wajar menjadi teladan terbaik bagi anak-anak dan menasihati anak-anak agar menghindari tabiat merokok. Kementerian Kesihatan, pihak sekolah dan pihak media massa juga perlu memainkan peranan signifikan untuk memastikan bilangan perokok dapat dikurangkan, bak kata peribahasa, "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan." Aktiviti bersempena Kempen Antimerokok wajar diteruskan dengan berkesan agar maklumat tentang bahaya merokok berupaya menginsafkan masyarakat. "Rokok Tiada, Kehidupan Bahagia." Bersama-samalah kita berpadu tenaga mewujudkan suasana Satu Malaysia yang lebih sihat dan ceria, bebas daripada kepulan asap rokok yang menjerumuskan kita ke lembah maut. "Kesihatan Cemerlang, Masyarakat Gemilang, Negara Terbilang."
Sunday, April 24, 2011
Karangan Kes Pembuangan Bayi
Kes pembuangan bayi sering menjadi tajuk utama akhbar-akhbar perdana di negara kita. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani kes ini.
Jawaban:
Strategi:
T=Kes Pembuangan Bayi
K=Usaha
F=Umum
Isi:
1. masyarakat hendaklah diberi pendidikan keibubapaan melalui pelbagai program
2. mengadakan ceramah atau kempen
3. menyediakan perkhidmatan kaunseling
4. pesalah laku yang disabitkan kesalahan merogol perlu dikenakan hukuman yang berat.
5. kursus keagamaan
(AR) Dewasa ini, masalah sosial dalam kalangan masyarakat semakin menjadi-jadi bagai cendawan tumbuh selepas hujan. (AR) Antaranya termasuklah kes pembuangan bayi yang semakin leluasa di negara kita. (AR) Dalam siaran berita di radio atau di televisyen, berita-berita seperti ini begitu kerap dilaporkan. (AR) Hal ini bukan sahaja menyusahkan banyak pihak malah imej negara kita akan terjejas. (AA) Oleh hal yang demikian, pelbagai langkah harus diambil untuk membendung masalah ini.
(AJ) Satu daripada langkah yang perlu dilaksanakan ialah semua lapisan masyarakat hendaklah diberi pendidikan keibubapaan melalui pelbagai program. (AH) Pendidikan ini bertujuan memberikan buah fikiran mengenai perkahwinan yang sah kepada rakyat. (AH) Melalui cara ini, orang ramai akan menjadi lebih berhati-hati supaya tidak melakukan perbuatan sumbang. (AH) Perkara ini harus ditekankan kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya para remaja. (AC) Sebagai contohnya, program pendidikan keibubapaan perlu diadakan untuk mendidik remaja tentang perkara yang perlu diamalkan dalam kehidupan berkeluarga. (AH) Tegasnya, orang ramai perlu diberi kesedaran tentang kesan buruk aktiviti pembuangan bayi.
Selain itu, (AJ) pihak berkenaan hendaklah mengadakan ceramah atau kempen pada peringkat sekolah mahupun peringkat taman-taman perumahan. (AH) Melalui program tersebut, masyarakat dapat diberi kesedaran tentang keburukan pergaulan bebas. (AH) Seperti yang kita ketahui, kes pembuangan bayi berpunca daripada pergaulan bebas yang dianggap sebagai suatu perkara biasa bagi warga urban kini. (AH) Kita seharusnya mengelakkan diri daripada unsur negatif tersebut supaya tidak menjadi seperti sudah terhantuk baru nak tengadah. (AH) Sebagai contohnya, kempen kesedaran ini perlu dilakukan secara besar-besaran melalui iklan, risalah dan lain-lain. (AP) Usaha dinamik dan secara konsisten ini diperlukan untuk membimbing rakyat supaya sentiasa berada di landaan yang betul dalam kehidupan.
(AJ) Langkah yang seterusnya ialah menyediakan perkhidmatan kaunseling yang perlu diurus oleh pihak kebajikan masyarakat. (AH) Khidmat nasihat hendaklah diberikan kepada mangsa rogol dan individu yang mengandung tanpa nikah. (AH) Hal ini disebabkan mangsa mengalami ketidakstabilan emosi dan mungkin akan cuba mencederakan diri sendiri. (AC) Sebagai contohnya, mangsa rogol sanggup membunuh diri kerana tidak dapat menerima kenyataan sebenar. (AP) Oleh hal yang demikian, pusat kaunseling perlu diperbanyak di seluruh negara untuk membantu mangsa-mangsa tersebut.
Di samping itu, (AJ) pesalah yang disabitkan kesalahan berzina atau kes rogol perlu dikenakan hukuman yang berat. (AC) Sebagai contohnya, hukuman bagi kesalahan berzina dan merogol adalah seperti penjara dan hukuman sebat. (AH) Perogol atau orang yang mencabul kehormatan wanita merupakan manusia yang tidak berperikemanusiaan. Mereka perlu dijatuhi hukuman yang berat sebagai peringatan kepada orang lain. (AH) Hal ini menyebabkan wanita-wanita ini kehilangan harga diri dan terpaksa menanggung malu sepanjang hayatnya. (AH) Perkara tersebut juga akanmenconteng arang ke muka ahli keluarga mangsa. (AP) Oleh sebab itu, undang-undang negara perlu dikuatkuasakan supaya perogol atau mereka yang berzina berasa serik atau takut untuk melakukan perkara tersebut.
Seterusnya, (AJ) pendidikan agama dan moral harus dititikberatkan oleh ibu bapa untuk menyedarkan anak-anak tentang dosa dan balasan yang akan diterima. (AH) Ibu bapa hendaklah menitikberatkan pendidikan agama dan moral kepada anak-anak dan proses ini hendaklah diteruskan walaupun seseorang itu telah meningkat umur dewasa. (AH) Pendidikan agama dan moral amatlah penting dan perlulah disemaikan dalam sanubari rakyat. (AC) Sebagai contohnya, anak-anak perlu diberi didikan agama sejak kecil keranamelentur buluh biarlah dari rebungnya. (AH) Cara ini adalah amat efektif untuk mewujudkan masyarakat yang bebas daripada kes pembuangan bayi.
Kesimpulannya, (A Ksmpln) pelbagai pihak perlu berganding bahubagai aur dengan tebing untuk menyelesaikan dan mengurangkan kes pembuangan bayi yang berlaku di negara kita. (A Pnln) Masalah tersebut akan menular dan menjadi duri dalam daging jika tidak ditangani segera ketika negara sedang berusaha untuk mencapai wawasan 2020. (A Pndpt) Kerjasama daripada semua pihak adalah amat penting untuk membendung maalah ini kerana ke bukit sama-sama didaki, ke lurah sama-sama dituruni. (A Pnln)Melalui usaha ini, hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang sihat dari segi lahiriah dan rohani dapat direalisasikan.
(Karangan ini ditulis oleh Wong Mei Yee)
Friday, August 6, 2010
Saturday, May 29, 2010
Wednesday, May 26, 2010
Kemalangan Jalan Raya
Kemalangan Jalan Raya
Banyak slogan yang telah disarankan oleh kerajaan untuk menyedarkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati semasa memandu seperti “Jangan biarkan keluarga anda menunggu dalam tangisan” dan “Jangan jadikan jalan raya sebagai tempat berlumba”. Namun, didapati tidak banyak pengguna jalan raya yang betul-betul memahami seruan kerajaan tersebut. Kini, Malaysia telah disenaraikan sebagai salah sebuah negara yang mencatat jumlah kematian tertinggi akibat kemalangan jalan raya. Ini merupakan satu keaiban bagi seluruh penduduk di Malaysia. Oleh itu, faktor-faktor kemalangan haruslah dikenal pasti supaya langkah-langkah yang wajar dapat diambil bagi menyedarkan pengguna mengenai perkara ini.
Tidak dapat dinafikan bahawa kemalangan banyak berpunca daripada pengguna yang hilang kesusilaan ketika memandu. Komen yang sentiasa dapat kita dengar daripada pelancong ialah negara kita mempunyai masyarakat yang bersopan santun kecuali ketika memandu. Antara contoh yang jelas ialah gelagat penunggang motosikal yang suka memecut dan memotong kenderaan lain dalam keadaan yang tidak selamat seperti di kawasan yang sempit, di selekoh, di garisan berkembar, dan memotong dari sebelah kiri kenderaan. Perdana Menteri kita pernah mengeluarkan kenyataan bahawa penunggang-penunggang motosikal tersebut mungkin menyangka bahawa mereka tidak akan menemui maut di jalan raya.
Di samping itu, terdapat juga segelintir pemandu yang ingin mendapatkan keseronokan atau “tahil” ketika memandu laju. Pemandu-pemandu seperti ini akan tidak melepaskan peluang untuk memandu melebihi had laju yang telah ditetapkan bagi kawasan-kawasan tertentu. Malah, oleh sebab ingin memandu laju, mereka sanggup melakukan perkara-perkara yang dianggap “biadab” di jalan raya iaitu tidak mematuhi arahan lampu isyarat seperti tidak memberhentikan kenderaan mereka ketika lampu isyarat berwarna merah. Perkara-perkara yang dilakukan ini bukan sahaja membahayakan diri mereka sendiri malah nyawa pengguna jalan raya yang lain juga akan turut terancam.
Kemalangan jalan raya telah dikenal pasti sebagai pembunuh utama di negara kita. Menurut satu kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, sebanyak 20 hingga 30 orang pengguna jalan raya telah terkorban setiap hari. Angka ini akan bertambah ketika musim-musim perayaan ketika jalan raya dan lebuh raya dibanjiri dengan pelbagai jenis kenderaan. Menurut laporan tersebut juga, kebanyakan kemalangan berlaku akibat pemandu atau penunggang motosikal yang bersikap angkuh, cuai , dan terlalu ingin cepat sampai ke destinasi masing-masing sehingga sanggup memandu secara kurang sopan. Sesungguhnya risiko yang diambil itu tidak setimpal dengan bencana yang diterima mereka.
“Kemalangan Sifar” merupakan slogan yang baru dilancarkan oleh kerajaan kita baru-baru ini. Slogan tersebut merupakan satu lagi langkah kerajaan untuk menginsafkan pengguna jalan raya yang memandu di jalan raya secara tidak sopan. Walaupun agak sukar untuk mendapatkan kemalangan sifar namun kita berharap kempen yang dijalankan itu akan dapat mengurangkan angka kematian yang amat membimbangkan itu.
Sementara itu, Jabatan Polis Bukit Aman pula telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa kebanyakan pengguna jalan raya di negara kita lebih takut menerima surat saman daripada takut akan maut di jalan raya. Oleh itu, dendaan melalui saman yang dikeluarkan serta penggantungan lesen memandu merupakan salah satu cara yang berkesan untuk mengurangkan jumlah pemandu yang hilang kesusilaan di jalan raya.. Operasi seperti “ops pacak” yang dijalankan oleh pihak polis ketika musim perayaan baru-baru ini sepatutnya dijalankan secara berterusan kerana operasi tersebut didapati berjaya mengurangkan kadar kemalangan yang sering berlaku di tempat-tempat yang telah dikenal pasti.
Dalam perkembangan yang lain, kemalangan juga didapati banyak berlaku akibat pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk. Hal ini jelas kerana seseorang yang dipengaruhi minuman keras tidak akan dapat membuat agakan yang tepat dan sering hilang pertimbangan serta tidak pasti arah tuju kenderaan yang dipandunya akibat pemandangan yang kabur. Dalam hal ini, sekatan jalan raya sepatutnya diadakan secara berterusan terutamanya selepas jam 12 tengah malam. Hal ini demikian kerana pemandu yang mabuk selalunya berada di jalan raya ketika itu kerana baru keluar dari kelab malam atau pusat-pusat hiburan yang lain. Pemeriksaan kandungan alkohol melalui pernafasan sepatutnya dijalankan dengan lebih berhati-hati agar tidak ada sesiapa yang terlepas daripada peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.
Walaupun negara kita mempunyai undang-undang untuk mengawal pemandu yang tidak bersopan, namun pada pendapat saya, kesedaran dalam diri pemandu itu sendiri merupakan langkah yang paling berkesan untuk mengelakkan kemalangan. Dengan perkataan lain, pengguna jalan raya hendaklah mempunyai kesedaran sivik. Mereka sepatutnya sedar sikap mereka yang tidak bersopan ketika di jalan raya itu akan menyebabkan keluarga mereka menanggung sengsara. Bayangkanlah seorang anak yang kehilangan ibu bapa, isteri yang kehilangan suami, atau penderitaan akibat kecacatan yang kekal sepanjang hayat; semua itu tidak setimpal dengan keseronokan yang bersifat sementara akibat menurut hawa nafsu.
Sebagai warga negara pula, kita tidak mahu mencemarkan nama negara kita sebagai negara yang mempunyai pengguna jalan raya tidak bersopan yang terbanyak. Kita juga tidak mahu nama Malaysia dicatat sebagai negara yang mempunyai kematian terbanyak akibat kemalangan jalan raya. Oleh itu langkah-langkah yang wajar seperti yang telah dibincangkan hendaklah dilaksanakan segera. Sementara itu pemandu yang hilang kesusilaan hendaklah segera sedar dan cuba membaiki kelemahan mereka kerana saya yakin kita tidak mahu keluarga kita menunggu kepulangan kita dengan tangisan. Sedarlah demi keluarga anda yang tercinta!!
Karangan Tentang Penyakit
Dunia sekarang dilanda dengan pelbagai jenis penyakit berjangkit. Bincangkan cara-cara untuk menghalangnya daripada terus merebak dalam kalangan masyarakat di negara kita ini.
Baru-baru ini, sarwajagat telah digemparkan dengan krisis penyakit berjangkit yang boleh membawa maut. Malah, penyakit berjangkit boleh merebak melalui sistem pernafasan seperti air liur, bersin dan lain-lain. Sebagai contoh, antara penyakit berjangkit yang ditakuti ialah H1N1, SARS,JE dan sebagainya. Justeru, pelbagai alternatif perlu diambil bagi mencegah penyakit berjangkit ini daripada terus merebak dalam kalangan rakyat di negara ini.
Antara langkah bagi menangani penyakit berjangkit ini daripada bertambah kronik adalah dengan memastikan kebersihan diri kita sentiasa terjaga. Hal ini berlaku demikian kerana sesetengah wabak penyakit dapat berjangkit secara tidak langsung iaitu melalui sentuhan, memegang atau menggunakan sebarang peralatan yang pernah digunakan oleh individu yang telah dijangkiti penyakit tersebut. Dengan ini, kita akan terhindar daripada dijangkiti oleh penyakit berbahaya tersebut. Sebagai contoh, kita perlulah menggunakan sabun semasa membasuh tangan kita sebelum makan. Oleh yang demikian, langkah ini perlu diamalkan oleh semua orang bagi menghindari serta melindungi diri mereka daripada dijangkiti sebarang penyakit berjangkit.
Selain itu, kita juga perlu mengelakkan diri daripada mengunjungi tempat-tempat awam sekiranya tiada urusan penting. Hal ini berlaku demikian kerana sesetengah penyakit berjangkit seperti H1N1(Selesema Babi) boleh merebak melalui pernafasan. Sehubungan dengan itu, risiko untuk seseorang itu dijangkiti wabak berjangkit adalah minimum. Sebagai contoh, tempat-tempat yang perlu dielakkan ialah pusat membeli belah, taman-taman permainan dan sebagainya. Justeru, menjauhi tempat-tempat awam merupakan pilihan yang tepat bagi mengelakkan penyakit berjangkit daripada mengancam nyawa kita.
Seterusnya, kerajaan juga boleh menangani musibah ini dengan menyekat kemasukan para wisatawan yang disyaki dijangkiti penyakit berjangkit. Hal ini kerana para wisatawan dari negara luar yang datang ke negara ini boleh menjadi faktor utama yang menyebarkan virus penyakit berjangkit ini. Justeru, penyebaran penyakit ini akan dapat serba sedikit dikurangkan. Tamsilnya, pihak berkuasa yang menjaga pintu masuk lapangan terbang kita hendaklah mengetatkan lagi pemeriksaan kesihatan ke atas para wisatawan ini. Intihanya, kerjasama daripada mereka dapat membantu mengurangkan penyakit ini daripada terus menular ke negara kita.
Konklusinya, dapatlah dirumuskan bahawa pelbagai langkah perlu diambil oleh semua lapisan masyarakat bagi mencegah penularan penyakit berjangkit ini. Selain itu,kita hendaklah mengamalkan gaya hidup yang sihat. Gaya hidup yang sihat akan melahirkan tubuh yang sihat yang mampu melawan penyakit berjangkit. Sesungguhnya, mencegah itu lebih baik daripada merawat dan janganlah kita menyesal apabila kita telah disahkan menghidapi penyakit berjangkit disebabkan kecuaian kita kerana ‘Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya’.