Nuffnang

Wednesday, May 26, 2010

Karangan Tentang Penyakit

Dunia sekarang dilanda dengan pelbagai jenis penyakit berjangkit. Bincangkan cara-cara untuk menghalangnya daripada terus merebak dalam kalangan masyarakat di negara kita ini.


           Baru-baru ini, sarwajagat telah digemparkan dengan krisis penyakit berjangkit yang boleh membawa maut. Malah, penyakit berjangkit boleh merebak melalui sistem pernafasan seperti air liur, bersin dan lain-lain. Sebagai contoh, antara penyakit berjangkit yang ditakuti ialah H1N1, SARS,JE dan sebagainya. Justeru, pelbagai alternatif perlu diambil bagi mencegah penyakit berjangkit ini daripada terus merebak dalam kalangan rakyat di negara ini.


            Antara langkah bagi menangani penyakit berjangkit ini daripada bertambah kronik adalah dengan memastikan kebersihan diri kita sentiasa terjaga. Hal ini berlaku demikian kerana sesetengah wabak penyakit dapat berjangkit secara tidak langsung iaitu melalui sentuhan, memegang atau menggunakan sebarang peralatan yang pernah digunakan oleh individu yang telah dijangkiti penyakit tersebut. Dengan ini, kita akan terhindar daripada dijangkiti oleh penyakit berbahaya tersebut. Sebagai contoh, kita perlulah menggunakan sabun semasa membasuh tangan kita sebelum makan. Oleh yang demikian, langkah ini perlu diamalkan oleh semua orang bagi menghindari serta melindungi diri mereka daripada dijangkiti sebarang penyakit berjangkit.


            Selain itu, kita juga perlu mengelakkan diri daripada mengunjungi tempat-tempat awam sekiranya tiada urusan penting. Hal ini berlaku demikian kerana sesetengah penyakit berjangkit seperti H1N1(Selesema Babi) boleh merebak melalui pernafasan. Sehubungan dengan itu, risiko untuk seseorang itu dijangkiti wabak berjangkit adalah minimum. Sebagai contoh, tempat-tempat yang perlu dielakkan ialah pusat membeli belah, taman-taman permainan dan sebagainya. Justeru, menjauhi tempat-tempat awam merupakan pilihan yang tepat bagi mengelakkan penyakit berjangkit daripada mengancam nyawa kita.


             Seterusnya, kerajaan juga boleh menangani musibah ini dengan menyekat kemasukan para wisatawan yang disyaki dijangkiti penyakit berjangkit. Hal ini kerana para wisatawan dari negara luar yang datang ke negara ini boleh menjadi faktor utama yang menyebarkan virus penyakit berjangkit ini. Justeru, penyebaran penyakit ini akan dapat serba sedikit dikurangkan. Tamsilnya, pihak berkuasa yang menjaga pintu masuk lapangan terbang kita hendaklah mengetatkan lagi pemeriksaan kesihatan ke atas para wisatawan ini. Intihanya, kerjasama daripada mereka dapat membantu mengurangkan penyakit ini daripada terus menular ke negara kita.


               Konklusinya, dapatlah dirumuskan bahawa pelbagai langkah perlu diambil oleh semua lapisan masyarakat bagi mencegah penularan penyakit berjangkit ini. Selain itu,kita hendaklah mengamalkan gaya hidup yang sihat. Gaya hidup yang sihat akan melahirkan tubuh yang sihat yang mampu melawan penyakit berjangkit. Sesungguhnya, mencegah itu lebih baik daripada merawat dan janganlah kita menyesal apabila kita telah disahkan menghidapi penyakit berjangkit disebabkan kecuaian kita kerana ‘Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya’.

No comments:

blogging tool
Click picture below to Close
Keezan.blogspot.com